PENDUDUK sekitar mengambil bekalan air di Pusat Khidmat Setempat, Dewan MBS, Seksyen 27, Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
PENDUDUK sekitar mengambil bekalan air di Pusat Khidmat Setempat, Dewan MBS, Seksyen 27, Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Meskipun belum pulih sepenuhnya, seramai 12,462 daripada 49,030 pengguna di Wilayah Petaling, Shah Alam dan Klang, Selangor sudah menerima bekalan air, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, jumlah itu bersamaan dengan 25.42 peratus dan direkodkan setakat 1 tengah hari, hari ini.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

Air Selangor memaklumkan akan berkongsi status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua saluran komunikasi rasmi.

Gangguan bekalan air berjadual berlaku di Wilayah Petaling, Klang dan Shah Alam berikutan kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, di sini, semalam.

Bagaimanapun, kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan sebuah kilang di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam siap dilaksanakan pada 11.30 malam tadi.

Kelewatan selama dua jam setengah berbanding tempoh dijadualkan disebabkan proses pengeringan air di dalam paip sedia ada mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan.

Proses itu penting bagi memastikan keselamatan petugas dan kontraktor Air Selangor terjamin semasa kerja kimpalan paip baharu dilakukan.

Bekalan air mula disalurkan kepada pengguna bermula 11.35 malam tadi dan proses pemulihan bekalan air dilakukan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 6:57 PM