PENDUDUK di Flat Taman Bunga Negara, Seksyen 27, Shah Alam mengambil air dari lori tangki Air Selangor susulan gangguan bekalan air, hari ini. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
PENDUDUK di Flat Taman Bunga Negara, Seksyen 27, Shah Alam mengambil air dari lori tangki Air Selangor susulan gangguan bekalan air, hari ini. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Notis awal diberikan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membantu penduduk membuat persiapan dan menyimpan air bagi menghadapi gangguan bekalan, bermula hari ini.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi sekitar Shah Alam dan Klang mendapati, setakat 4.30 petang ini, ada kawasan masih menerima bekalan air seperti biasa.

Seorang penduduk di Taman Sri Andalas, Klang, Mahathir Kassim berkata, setakat ini bekalan diterima di kawasan perumahan itu seperti biasa dan tiada gangguan.

Katanya, penduduk di situ sudah bersedia dengan menyimpan air secukupnya untuk kegunaan dalam tempoh 24 jam akan datang seperti dijangkakan.

"Setakat ini masih ada (air) lagi. Mungkin malam nanti ada gangguan, tak pastilah.

"Tetapi penduduk di sini sudah menyimpan air sejak dua hari lalu selepas membaca notis pemberitahuan yang dikeluarkan Air Selangor," katanya.

Seorang penduduk Pangsapuri Andora Sri Muda, Shah Alam, Andy, 60, berkata, kawasan kediamannya mula terputus bekalan air sejak tengah hari, hari ini.

Menurutnya, penduduk di situ sudah beberapa kali mengalami gangguan seperti itu dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Sebelum ini pernah terputus bekalan air, jadi kami memang sudah bersedia," katanya.

Semalam, media melaporkan sebanyak 89 kawasan di wilayah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula 30 Mac dan 6 April depan.

Ia berikutan kerja penyelenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Air Selangor tahun ini.

Gangguan itu disebabkan kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan Kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam yang bermula hari ini.

Sementara itu menerusi satu hantaran di Facebook, Air Selangor memaklumkan, kerja berkenaan sedang giat dijalankan.

Menurutnya, sehingga 5 petang hari ini, status kemajuan kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu adalah pada tahap 73 peratus seperti dijadualkan.

"Kerja pengalihan dan penyambungan paip ini dijangka siap sepenuhnya pada 9 malam ini.

"Bekalan air akan mula disalurkan selepas kerja siap dilaksanakan dan proses pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat-peringkat.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 7:35 PM