SAJAT. FOTO Arkib NSTP
SAJAT. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Nilai: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman berada di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan usahawan berkenaan berada di luar negara, namun pemantauan sedang dilakukan.

"Ada laporan mengatakan dia (Nur Sajat) berada di luar negara dan polis masih terus memantau.

"Kes ini di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan masih dalam tindakan kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini, hari ini.

Sajat kembali mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam, malah mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadapnya berikutan gagal hadir ke mahkamah susulan siasatan dijalankan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Dalam entri terbarunya, Sajat menafikan dirinya bersembunyi seperti dilaporkan sebelum ini.

Menerusi kenyataan dalam sesi 'live' di Instagram, Sajat menyatakan dia tidak bersembunyi mahupun menyorok daripada mana-mana pihak.

"Masa bila kita nak jadi pelarian, buat apa nak jadi pelarian, masa bila saya menyorok dan saya bukan menyorok tetapi hanya mendiamkan diri daripada media sosial Instagram.

"Pihak polis tidak mencari saya kerana mereka mempunyai urusan yang lebih penting berbanding saya," katanya.

Bagaimanapun, ketika rakaman itu, Nur Sajat tidak mendedahkan wajahnya dan sekadar mengatakan diri berada dalam keadaan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 5:36 PM