Rupa-rupanya itu Sajat.
Rupa-rupanya itu Sajat.
Oleh Zaara Talita


Kuala Lumpur: Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamarulzaman atau Sajat mengakui klip video seorang remaja lelaki yang menari tarian tradisional lengkap berbaju Melayu dan bersamping yang tular di media sosial adalah dirinya.

Sajat berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan klip video lagu asli nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini itu.

"Ya memang saya, kenapa, kenapa, saya memang comel jadi kenapa dengan video klip itu," katanya dalam satu video di Instagram.

Rata-rata orang ramai tidak terkejut dengan penampilan Sajat ketika di usia remajanya itu yang lengkap berpakaian baju Melayu dan bersamping kerana ternyata dia adalah seorang lelaki.

Sajat dilihat menjadi model lelaki bersama seorang lagi wanita di dalam klip video itu.

Malah, netizen juga turut teruja dengan video yang tular kerana Sajat masih berteka-teki mengenai jantinanya.

Terdahulu, Sajat melalui perkongsian di Instagram memaklumkan dia menukar jantinanya kepada wanita secara sah di Australia.

Sebelum ini, Sajat diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di mahkamah.

Pada Jun tahun lalu, polis turut menjejaki Sajat bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan di Mahkamah Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 5:23 PM