MUHAMMAD Sajjad Kamaruzzaman. FOTO Arkib NSTP.
MUHAMMAD Sajjad Kamaruzzaman. FOTO Arkib NSTP.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor bersedia bekerjasama dan membantu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi menyatakan kesediaan membantu Jais mengesan Nur Sajat yang menghilangkan diri, baru-baru ini.

"Polis sentiasa bersedia untuk membantu Jais mengesan Nur Sajat," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah Jais, Datuk Shahzihan Ahmad berkata, Jais dan Polis Selangor sentiasa bekerjasama bukan sahaja dalam menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah, sebaliknya dalam semua perkara.

"Jais akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menguatkuasakan segala undang-undang termasuk berkaitan kes terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 23 Februari lalu, usahawan kosmetik itu dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung menghina Islam.

Sumber memberitahu, Sajat dipercayai bersembunyi sebaik waran tangkap dikeluarkan mahkamah terbabit.

Sajat dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di tempat lain bagi mengelak dikesan Jais.

Menurut sumber, penguat kuasa kini berusaha menjejaki Sajat dan tidak menolak kemungkinan dia masih berada di kawasan Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 8:02 PM