Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan 11 asetnya membabitkan dua helikopter, lima kapal maritim dan empat bot ronda, bagi membanteras dan mengusir aktiviti kapal dagang bersauh secara haram di Perairan Johor Timur, mulai semalam.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata ia susulan Operasi Khas Jangkar Haram (Op Khas Jangkar Haram) yang dilancarkan susulan peningkatan kapal asing yang bersauh haram membabitkan perairan Tompok Utara, Permatang Timur dan Beting Ramunia.

Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia menerima 12 aduan daripada Jabatan Laut Malaysia pada 10 Januari hingga semalam berkaitan lebih 100 kapal bersauh secara haram di tiga kawasan perairan berkenaan.

"Op Khas Jangkar Haram yang dimulakan sejak semalam mengatur gerak 11 aset penguatkuasaan secara serentak membabitkan lima kapal maritim iaitu KM Perwira, KM Tegas, KM Sibuan, KM Niah dan KM Manjung yang kita kerah dari kawasan operasi lain selain empat bot ronda Maritim Johor, bagi menumpukan perhatian kepada isu kapal berlabuh secara haram di perairan Johor.

"Dua pesawat udara jenis AW 139 dari Stesen Udara Maritim Subang serta dua tim Pasukan Tindakan Khas (PTK) bagi meningkatkan keberhasilan operasi ini yang membabitkan membabitkan kekuatan seramai 175 pegawai dan anggota.

"Sejak operasi dilancarkan semalam, lima kapal asing ditahan semalam manakala empat lagi hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Maritim Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Maritim Malaysia (Johor), Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria.

Mengulas lanjut, Mohd Zubil berkata, menerusi siasatan Maritim Malaysia, punca kapal asing berlabuh secara haram di perairan Johor daripada kegagalan nakhoda, syarikat dan ejen kapal mematuhi peruntukan undang-undang Ordinan Perkapalan Malaysia (MSO) 1952.

"Antara alasan yang diberikan kapten atau nakhoda kapal asing adalah tidak mengetahui bersauh tanpa kebenaran adalah kesalahan, mendakwa tidak tahu had perairan Laut Wilayah Malaysia di perairan Johor Timur adalah melebihi 12 batu nautika, mendakwa mereka berlabuh di laut lepas atau perairan antarabangsa selain hanya menyedari kesalahan selepas menerima amaran melalui radio Maritim Malaysia," katanya.

Tinjauan melalui udara dalam operasi khas meninjau aktiviti kapal  yang berlabuh di Perairan Johor, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tinjauan melalui udara dalam operasi khas meninjau aktiviti kapal yang berlabuh di Perairan Johor, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 6:21 PM