APMM menahan sebuah kapal tunda berdaftar di Panama yang didapati bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 8.3 batu nautika, timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam. FOTO Ihsan APMM
APMM menahan sebuah kapal tunda berdaftar di Panama yang didapati bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 8.3 batu nautika, timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam. FOTO Ihsan APMM
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Sebanyak 50 kapal bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram yang dilancarkan sejak 24 Mac lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua kapal berkenaan ditahan apabila nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

Beliau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus melaksanakan Operasi Jangkar Haram bagi mengekang pencerobohan kapal yang bersauh secara haram di perairan negeri Johor.

"Pemilik kapal dan syarikat dinasihati supaya lebih peka dengan prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di perairan negara ini bagi mengelakkan tindakan.

"Sekiranya ditahan, proses siasatan dan pendakwaan akan menyebabkan kapal ditahan dan tidak boleh beroperasi selagi bon jaminan tidak dibayar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, dalam kes terbaru, sebuah kapal tunda yang didapati berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 8.3 batu nautika timur Tanjung Balau di sini, ditahan semalam.

Beliau berkata, kapal tunda sepanjang 74 meter yang berdaftar di Panama itu ditahan pada jam 1.30 tengah hari.

Menurutnya, siasatan mendapati kapal tunda terbabit dikendalikan seramai 16 orang kru warga India berusia antara 26 hingga 50 tahun.

Katanya, semua kru didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah bagaimanapun pemeriksaan mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

"Kapal berserta kru ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar

1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 1:47 PM