SEKITAR pemantauan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Maritim Malaysia ketika bulan Ramadan menggunakan aset kapal KM Perwira di sekitar perairan Johor Timur, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SEKITAR pemantauan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Maritim Malaysia ketika bulan Ramadan menggunakan aset kapal KM Perwira di sekitar perairan Johor Timur, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM/Maritim Malaysia) meneruskan momentum operasi termasuk menggerakkan aset secara optimum di sepanjang bulan Ramadan dan Syawal bagi tahun ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata penugasan 200 anggota adalah secara bergilir-gilir daripada segi rondaan dan pemantauan di perairan negeri ini.

"Maritim masih mengekalkan momentum operasi dan aset dalam jumlah yang sama sungguhpun pandemik Covid-19, selain terus melaksanakan penguatkuasaan bagi tangani isu seperti dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI) mahupun kapal berlabuh secara haram.

"Dalam tempoh ini, ada beberapa pengesanan dilaporkan terutama daripada Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), kita pun mengambil tindakan daripada pengesanan yang dikemukakan.

"Pada masa sama, Maritim Johor akan memastikan kawasan perairan Johor Timur bebas daripada kapal yang berlabuh secara haram yang cuba mengelak daripada bayar cukai kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemantauan bagi meninjau penguatkuasaan yang dilaksanakan Maritim Malaysia ketika bulan Ramadan menggunakan aset kapal KM Perwira pada program bersama media di sekitar perairan Johor Timur, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Nurul Hizam berkata, pihaknya turut membuat satu lagi tangkapan baharu kapal yang berlabuh tanpa kebenaran semalam, menjadikan keseluruhan 55 kapal ditahan, menerusi Op Jangkar Haram dijalankan.

Katanya, kapal itu ditahan bersama 10 kru kapal warga Indonesia berusia 35 hingga 54 tahun, kira-kira jam 1.25 petang, di kedudukan 14 batu nautika Timur Tanjung Siang Johor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 361 (6) ordinan sama kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh dan gagal mempamerkan polisi-polisi insurans daripada Jabatan Laut Malaysia,"

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 11:04 AM