Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Rampasan pelbagai jenis dadah bagi tiga bulan pertama tahun ini bernilai lebih RM2 juta, sekali gus peningkatan mendadak berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, tahun lalu, pihaknya hanya merekodkan rampasan berjumlah RM429,949, dengan pil kuda, heroin dan syabu masih menjadi dadah paling banyak diambil setiap tahun.

"Dalam tempoh tiga bulan pertama ini sehingga 22 Mac lalu, kita merampas 22,254 pil kuda, heroin (2,029.84 gram) dan syabu (5,393.46 gram).

"Tahun lalu, tiga jenis dadah ini juga paling banyak dirampas iaitu 9,602 pil kuda, heroin (392.60 gram) dan syabu (762.73 gram).

"Bagi kes pengedaran bekalan itu, kita sudah menahan 379 orang dengan 56 daripadanya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, berbanding 242 orang pada tahun lalu dengan 17 disiasat mengikut Seksyen 39 akta sama," katanya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik melakukan pemeriksaan perbarisan pada majlis Peringatan Hari Polis Ke 214 di perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik melakukan pemeriksaan perbarisan pada majlis Peringatan Hari Polis Ke 214 di perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu. FOTO GHAZALI KORI

Beliau ditemui pada Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke 214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Roslee berkata, keseluruhan, 1,876 orang ditahan sehingga 22 Mac lalu berbanding 2,944 orang pada tahun lalu membabitkan pelbagai kesalahan dadah, antaranya, memiliki, penyalahgunaan, Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan di bawah Akta Racun.

Mengenai indeks jenayah, katanya, berlaku penurunan hampir 20 peratus dengan 358 kes direkodkan pada tahun ini, berbanding 433 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Ini hasil kerja keras pegawai dan anggota melakukan operasi dan rondaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 2:08 PM