GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sebanyak 388 tangki statik (TS) bersaiz 500 hingga 2,000 gelen ditempatkan di kawasan bertekanan rendah dan sering mengalami gangguan bekalan air di Kelantan sepanjang musim perayaan tahun ini.

Unit Komunikasi Korporat Pejabat Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi satu kenyataan berkata, TS diletakkan di lokasi strategik untuk membolehkan pengguna mendapatkan bekalan jika berlaku gangguan.

Katanya, AKSB juga menyediakan 46 lori tangki air termasuk sembilan lori milik AKSB, 37 lori air kontrak (LAK) di seluruh jajahan untuk mengisi air di TS dan menghantar bekalan kepada pengguna.

"AKSB akan memastikan lori ini diselenggara dengan baik dan dapat beroperasi sempurna. Selain turut memastikan kakitangan yang bertugas di Unit Mekanikal dan Elektrikal, pengoperasian rawatan, agihan air terawat serta pembaikian kebocoran di seluruh jajahan sentiasa cukup.

"Selain itu, kenderaan yang sesuai juga bersedia bagi menjalankan kerja kecemasan iaitu menyelenggara paip bocor dan meminta kontraktor luar bersedia membantu melaksanakan sebarang kerja kecemasan di luar kemampuan kakitangan AKSB," katanya hari ini.

AKSB menjangkakan penggunaan air akan meningkat sepanjang cuti Aidilfitri tahun ini berbanding tahun lalu memandangkan cuti sekolah diberikan lebih awal iaitu bermula 19 April serta tol percuma yang diberikan kerajaan menyebabkan ramai perantau pulang.

Katanya, Aidilfitri ini memberi cabaran buat AKSB memandangkan musim kemarau yang dialami sejak Ramadan menyebabkan penyusutan air mentah terutama di muka sauk.

"Kesan amat ketara adalah di Loji Rawatan Air (LRA) Kelar yang mengalami pengurangan air terawat sebanyak 17 juta liter sehari (JLH). Faktor ini memberi kesan kepada LRA Chicha yang menyusut lebih kurang 11 JLH di mana terdapat penerobosan air masin di telaga pengumpul jejari (HCW) Pasir Tumbuh yang menyebabkan kandungan klorida dalam air tinggi dan pengambilan air sungai terpaksa dihentikan.

"Selain itu, kejadian telaga runtuh di LRA Perol menyebabkan air mentah untuk dirawat di LRA Perol kurang lebih kurang dua JLH," katanya.

Menurutnya, AKSB mengambil langkah proaktif iaitu menggali terusan yang dijangka siap menjelang Aidilfitri bagi menambah isipadu air mentah di HCW Semuba.

"Semua LRA AKSB akan beroperasi dengan kapasiti maksimum iaitu melebihi 500 JLH. Kerja penyelenggaraan berjadual di LRA yang boleh menyebabkan pengurangan air akan ditunda dan stok bahan kimia di LRA akan dipastikan mencukupi.

"AKSB juga akan menyediakan perbelanjaan awalan kepada setiap jajahan untuk kegunaan kerja kecemasan bagi memastikan pergerakan operasi berjalan dengan lancar," katanya.

AKSB melalui Unit Hal Ehwal Pelanggan (Pintas) akan menerima aduan daripada pengguna sepanjang tempoh perayaan dan kaunter aduan ditutup sementara waktu pada raya pertama hingga ketiga dan akan dibuka semula pada hari raya keempat.

Pintas boleh dihubungi melalui talian 15777 atau atau WhatsApp ke 019-5755777 atau e-mel ke [email protected] atau muat turun aplikasi MyAKSB melalui Google Play Store dan App Store untuk mendapatkan maklumat mengenai bekalan AKSB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 1:15 PM