DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. GAMBAR fail
DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. GAMBAR fail
BERNAMA

Kota Bharu: Sembilan projek menaik taraf perkhidmatan air bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan sehingga Mei depan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, satu daripada sembilan projek berkenaan sudah siap pada 1 Mac lalu membabitkan pembinaan Telaga B di Loji Rawatan Air (LRA) Chicha dengan kos peruntukan daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebanyak RM370,300.

Dalam hantaran di Facebook, hari ini, Tuan Ibrahim berkata, Telaga B LRA Chicha dapat memberi manfaat kepada pengguna di sekitar Pasir Tumboh, Melor, Demit, Panchor, Tawang, Jelawat dan Perupok.

"Selain itu, projek pembinaan LRA Kampung Telok, Kota Bharu dengan peruntukan daripada Kasa sebanyak RM48,229,508.06 dijangka siap pada April ini bakal akan memberi manfaat kepada pengguna sekitar Demit, Chempaka dan Panchor.

"Sementara cadangan projek penggantian paip lama dengan paip baharu di Kelantan dengan nilai RM23,361,500 daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) membabitkan kawasan Kota Lama dan Tanjong Mas juga dijangka siap pada April ini," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, projek pembinaan Telaga A di LRA Chicha dengan peruntukan daripada AKSB bernilai RM350,300 pula dijangka siap pada 16 Mac ini yang bakal memberi manfaat kepada pengguna di sekitar Pasir Tumboh, Melor, Demit, Panchor, Tawang, Jelawat dan Perupok.

"Selain itu, pemasangan paip 'dedicated' daripada tangki Merbau ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan peruntukan daripada PAAB sebanyak RM800,000 di kawasan Kota Lama dijangka siap pada Mei depan," katanya.

Tambah beliau, dua projek yang membabitkan jajahan Bachok dijangka siap pada April ini iaitu pembinaan LRA mini di Teluk Mesira, Bachok dengan peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM2.75 juta, manakala projek pembaikan paip air terawat di Jambatan Tanjung Hilir bernilai RM338,431 menerusi AKSB membabitkan kawasan Perupok dan Tawang.

"Bagi jajahan Tumpat, projek pembinaan telaga tiub dan sistem rawatan air di Kampung Laut dengan kos sebanyak RM350,000 menerusi peruntukan daripada kerajaan negeri dan AKSB dijangka siap pada Mei nanti.

"Selain itu, menerusi cadangan projek cadangan kerja penggantian paip lama dengan paip baharu di Kelantan yang membabitkan kawasan Kota Lama dan Galas dengan peruntukan sebanyak RM8,667,500 daripada PAAB dijangka siap pada April ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 4:58 PM