Wee Ka Siong.
Wee Ka Siong.
Oleh Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat penyelewengan atau salah laku membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan perkara yang membabitkan integriti sesebuah agensi kerajaan.

Katanya, beliau sendiri sudah memberitahu kepada agensi di bawah kementeriannya termasuk JPJ bahawa mereka akan berdepan tindakan undang-undang jika terbabit dengan sebarang salah laku membabitkan penyelewengan dan rasuah.

"Biarlah SPRM siasat, kalau ada bukti boleh ambil tindakan kepada mereka yang terbabit," katanya dalam sidang media selepas program bantuan baik pulih rumah ibu tunggal di Kampung Parit Sumarto, Parit Raja di sini, hari ini.

Menurutnya, kementeriannya akan membersihkan nama JPJ yang ketika ini tercalar dengan kes rasuah atau penyelewengan.

"Walaupun kes bukan berlaku tahun ini, pihak kementerian juga mengalu-alukan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

"Kementerian tidak akan melindungi siapa pun dan akan membantu siasatan yang dilakukan pihak berkuasa berkaitan," katanya.

Terdahulu Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam turut serta melakukan aktiviti gotong-royong baik pulih rumah serta menyampaikan bantuan barang keperluan kepada penduduk Kampung Parit Sumarto.

Sebelum ini akhbar melaporkan penahanan 32 pegawai JPJ menerusi Ops Sukat adalah hasil kolaborasi jabatan itu bersama SPRM.

JPJ memaklumkan penahanan pegawainya baru-baru ini membabitkan lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka.

Kolaborasi bersama SPRM adalah usaha JPJ untuk memastikan jabatan itu bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah sehingga menyebabkan ketirisan kepada hasil negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 4:04 PM