Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Isu kegiatan penjualan lesen terbang yang didakwa berlaku dalam kalangan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebenarnya disyaki dilakukan oleh scammer.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya sedang mengesan sindiket yang dianggap bukan perkara baharu sebaliknya dipercayai sudah wujud sejak sekian lama itu.

"Ini semua (angkara) scammer. Tidak ada satu situasi pun orang di negara kita boleh dapat lesen melalui bayaran kepada mana-mana pihak.

"(Isu) lesen terbang ini bukan baru, apabila ada kes, kita tackle dan kita juga lakukan penyamaran dengan bayar kepada sindiket.

DATUK Zailani Hashim (dua kanan) diberi penerangan oleh Anggota JPJ ketika melakukan pemeriksaan tayar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Zailani Hashim (dua kanan) diberi penerangan oleh Anggota JPJ ketika melakukan pemeriksaan tayar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kami membuat semakan dengan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk melihat domain bagi mengesan pelokasi sumber seragam (URL) yang digunakan scammer dan itu penyelesaian terakhir kita patut buat jika membabitkan penipuan dalam talian," katanya ketika sidang media di sini, malam tadi.

Zailani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pempengaruh atau influencer media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di platform itu yang menuduh anggota JPJ terbabit secara langsung dalam aktiviti menjual lesen memandu secara haram.

Beliau berkata, pihaknya sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan terhadap tuduhan itu yang turut menyatakan anggotanya menerima wang sogokan calon biarpun tidak melepasi ujian yang ditetapkan di institut memandu.

Sambil mengalu-alukan siasatan yang akan dijalankan, Zailani menegaskan, beliau tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang membabitkan integriti.

"Sebelum ini pun, SPRM sudah mengambil tindakan kepada anggota JPJ sendiri yang terbabit dengan salah laku, salah guna kuasa, tidak berintegriti dan lain-lain.

"Saya mengalu-alukan siasatan SPRM ke atas anggota saya dan saya tidak akan melindungi mahupun berkompromi untuk disiasat oleh SPRM atau polis jika berlaku sebarang bentuk salah laku, salah guna kuasa dan tidak berintegiriti," katanya.

Terdahulu, beliau hadir dalam Operasi Penguatkuasaan Sempena musim cuti perayaaan Tahun Baru Cina 2022 di Terminal Bas Lembah Sireh yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 9:51 AM