Wee Ka Siong ketika program gotong-royong baik pulih rumah ibu tunggal di Kampung Parit Sumarto, Parit Raja. Foto Essa Abu Yamin
Wee Ka Siong ketika program gotong-royong baik pulih rumah ibu tunggal di Kampung Parit Sumarto, Parit Raja. Foto Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang melanjutkan pengecualian pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL, tidak termasuk Lesen Vokasional) dan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan, tidak termasuk kenderaan perdagangan) untuk dua bulan lagi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sepatutnya pengecualian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam yang berkuat kuasa 1 Februari lalu sepatutnya tamat 31 Mac depan.

Katanya, cadangan itu adalah bagi memberi ruang kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyelesaikan urusan tertunggak disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pengumuman mengenai perkara ini dijangka dibuat minggu hadapan selepas berbincang dengan JPJ.

"Ketika ini pemilik kenderaan hanya perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan mengemukakan salinan sijil perlindungan itu atau 'e-cover note'," katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong di rumah penduduk di Kampung Parit Sumarto di sini, hari ini.

Menurut Ka Siong, kementeriannya sudah berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ bagi melakukan persiapan dan meminta melanjutkan lagi tempoh pembaharuan cukai jalan memandangkan ada negeri merekodkan kes Covid-19 yang tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kementerian juga sedang memikirkan cara yang berkesan untuk menyelesai secara berfasa kes-kes cukai jalan yang tertangguh, sekali gus meredakan keadaan di kaunter JPJ apabila dibuka nanti," katanya.

Pada Januari lalu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan pengecualian pembaharuan cukai jalan bermula 1 Februari hingga 31 Mac seluruh negara kecuali Sarawak susulan pelaksanaan PKP bagi mengehadkan operasi di kaunter JPJ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 5:10 PM