ANTARA acara yang diadakan.
ANTARA acara yang diadakan.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

PROGRAM Komuniti Keluarga Malaysia Hogoh Bera 2021 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang berlangsung di Felda Kumai, Triang, Bera minggu lalu, mendapat sambutan hangat masyarakat setempat.

Program yang mendapat kerjasama Persatuan Wau dan Layang-Layang Pahang (PELAYANG), Tourism Pahang dan Felda Kumai, Triang, Bera itu bertujuan mengangkat, menerap serta memperkukuhkan nilai-nilai murni dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat, khususnya Keluarga Malaysia di kawasan Bera.

Ia juga bagi mempromosikan produk usahawan seni dan budaya yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai satu niche komuniti di bawah industri pelancongan budaya.

Lebih istimewa, program berkenaan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob yang sudi meluangkan masa untuk hadir dan merasmikannya.

Ismail Sabri berkata, MOTAC melalui semua agensinya harus memastikan usaha yang lebih agresif dijalankan bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan segmen pelancongan budaya.

NANCY komited menyokong penuh segala aktiviti di bawah Sektor Pelancongan dan Kebudayaan.
NANCY komited menyokong penuh segala aktiviti di bawah Sektor Pelancongan dan Kebudayaan.

Pendekatan yang baharu dan kreatif perlu diberi keutamaan sebagai elemen utama produk pelancongan dalam usaha untuk mempromosikan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian bangsa, bahasa dan budaya yang menarik.

Perdana Menteri turut berkesempatan menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Penggiat Seni Pahang kepada 22 orang pemain industri yang terkesan akibat penularan wabak pandemik Covid-19.

Turut disampaikan ialah pemberian bantuan Insentif Seni kepada sembilan persatuan seni budaya membabitkan peruntukan sebanyak RM71,900.

Anugerah Penggiat Seni diberikan kepada lima penerima terpilih serta Anugerah Khas Seni kepada Roslan Madun yang juga Maestro Syair Nusantara.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, program ini diadakan secara pendekatan turun padang oleh agensi-agensi kerajaan bagi mendekatkan diri kepada masyarakat melalui pembabitan komuniti di peringkat akar umbi.

Antara pengisian menarik yang diatur dalam program ini ialah jualan produk usahawan seni budaya, pertandingan sukan rakyat, kenduri rakyat, pertandingan masakan tradisi, demonstrasi permainan dan pembuatan Wau Pungguk.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kesudian beliau hadir.

ISMAIL Sabri menyampaikan hadiah kepada Roslan Madun.
ISMAIL Sabri menyampaikan hadiah kepada Roslan Madun.

"Tidak dilupakan juga, terima kasih kepada Datuk Sri Mohd. Sharkar Shamsudin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Negeri Pahang yang mempengerusikan Jawatankuasa Induk di peringkat negeri bagi memastikan program berjalan dengan lancar," katanya.

Nancy berkata, MOTAC sentiasa komited dan menyokong penuh segala aktiviti di bawah Sektor Pelancongan dan Kebudayaan tidak kira sama ada ia dilaksanakan oleh setiap Jabatan serta Agensi di bawah Kementerian mereka ataupun organisasi luar.

Menurutnya, MOTAC melalui JKKN Negeri Pahang juga secara berterusan memberikan latihan serta mengadakan sesi libat urus bersama para NGO, Kerajaan Negeri Pahang, serta badan-badan Korporat berhubung aktiviti seni dan budaya.

"Terdapat beberapa siri kajian berkaitan kesenian negeri Pahang yang dilaksanakan.

"Antaranya ialah Perantisan Silat Kura-Kura, Tarian Gamelan, Tarian Anak Indung, Tarian Caluk, Tarian Labi-Labi, Tarian Piring, Permainan Tradisi iaitu Hencang Buah Keras dan Seni Silat iaitu Silat Lenggang Mak Janda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 9:05 AM