GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kebenaran kerajaan membenarkan rentas daerah serta menjalankan aktiviti pelancongan membantu meningkatkan sektor ekonomi negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sektor pelancongan kini berdepan krisis terburuk apabila tiada ketibaan pelancong dari luar negara.

Katanya, disebabkan penutupan sempadan antarabangsa, ketibaan pelancong dari luar negara turut menunjukkan penurunan secara mendadak iaitu 83.4 peratus pada tahun lalu.

"Ketibaan pelancong antarabangsa, menjunam pada tahun lalu iaitu sebanyak 4,332,722 pelancong antarabangsa berbanding pada tahun 2019 iaitu 26,100,784 pelancong dilaporkan.

"Angka ini sekali gus membawa kepada pengurangan pendapatan pelancongan sebanyak 85.3 peratus iaitu RM12.67 bilion pada tahun lalu berbanding RM86.1bilion direkodkan pada tahun 2019.

"Dengan keputusan kerajaan memberi kelonggaran membenarkan perjalanan rentas daerah dan aktiviti pelancongan untuk beroperasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk pada kadar 50 peratus daripada kapasiti premis di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ia memberi nafas lega kepada penggiat industri pelancongan, seni dan budaya. Untuk itu, manfaatkanlah peluang itu sebaiknya," katanya dalam ucapan perasmian Pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Travel Wish Lists 2021, secara dalam talian, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nancy meminta masyarakat menjadi pelancong bertanggungjawab serta melancong dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan serta mempraktikkan amalan norma baharu.

"Percayalah, kita mampu untuk sama-sama membantu menyemarakkan kembali pelancongan domestik kerana usaha ini tidak akan berhasil tanpa sokongan anda semua," katanya.

Sementara itu, mengenai pertandingan dilancarkan itu, Nancy berkata ia satu inisiatif Tourism Malaysia bersama majalah digital pelancongan, Backpackerz bagi merancakkan kembali pelancongan domestik.

Nancy berkata, pertandingan yang bermula hari ini sehingga 2 April itu diadakan bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia menzahirkan destinasi percutian impian masing-masing melalui paparan foto destinasi pelancongan menarik serta penulisan kreatif cerita pendek di platform media sosial.

"Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah geran melancong berupa wang tunai RM4,000 dan telefon bimbit berjenama Apple iPhone 12, manakala Naib johan akan membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta konsol permainan video jenama Sony Playstation 5.

"Tempat ketiga akan menerima wang tunai RM1,500 berserta fon telinga Apple Airpods. Lima penyertaan terbaik pertandingan pula akan menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai RM300," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 2:52 PM