Nur Raziana menuai madu kelulut.
Nur Raziana menuai madu kelulut.
Oleh Muhamaad Razis Ismail dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin dan Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Pengusaha madu kelulut Orang Asli, Nur Raziana Ramli, 42, menghantar sampel madu ke Institut Genom Malaysia untuk menjalani ujian makmal bagi mengetahui keasliannya sebelum ia dipasarkan.

Katanya, institut itu menawarkan perkhidmatan berkenaan dengan kadar bayaran RM20.

"Saya akan menghantar sampel ke institut berkenaan untuk ujian makmal setiap kali membeli madu yang sudah siap dituai daripada Orang Asli.

"Ini kerana, ada segelintir daripada individu ini mencampurkan bahan lain di dalam madu berkenaan. Jadinya, keaslian madu itu sudah berkurangan.

"Sebaliknya, saya tidak berbuat demikian (ujian makmal) jika turun padang menuai sendiri madu berkenaan di ladang ternakan kelulut Orang Asli lain," katanya.

Nur Raziana yang sudah enam tahun mengusahakan ternakan madu kelulut berkata, bukan mudah untuk mengenal pasti madu yang terdapat dalam pasaran sama ada ia asli atau tiruan.

Katanya, pembuat madu tiruan semakin ke hadapan kerana rasa madu yang dihasilkan tidak ubah seperti madu asli.

"Setiap madu mempunyai khasiat tersendiri dan sebab itu, kita perlu memahami kandungannya.

"Madu mengandungi fruktos, sukrosa, glukos dan asid glukonik. Tetapi kandungan madu kelulut lebih kepada asid glukonik untuk mengawal asid perut serta gastrik," katanya.

Nur Raziana berkata, tanggapan ramai yang menganggap madu asli tidak dihurung semut adalah salah.

"Fruktos, sukrosa dan glukosa yang terkandung di dalam madu adalah gula semulajadi.

"Sepanjang pengalaman menceburi bidang ini, setiap kali menuai madu di sarang, pasti madu itu dihurung semut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 11:06 AM