MUHAMAD Khairul (kanan) muncul pelatih terbaik latihan luar Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel (Lelaki). FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MUHAMAD Khairul (kanan) muncul pelatih terbaik latihan luar Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel (Lelaki). FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Beberapa jam sebelum melangsungkan akad nikah, saya menerima panggilan daripada Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam supaya melapor diri bagi menjalani latihan kepolisan.

"Saya anggap ia hadiah pernikahan dan mahu menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh biarpun terpaksa berjauhan dengan isteri selama enam bulan," kata Muhamad Khairul Jamaludin, 27.

Muhamad Khairul muncul sebagai pelatih terbaik latihan luar Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel (Lelaki) Siri 3 2020.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, biarpun sedih, dia nekad mahu menamatkan latihan apatah lagi sudah meletakkan jawatan sebagai pegawai penjara di Penjara Kajang bagi memohon menyertai polis.

Katanya, walaupun terpaksa berjauhan dengan isteri, Nurul Nabila Ibrahim, 27, selepas melangsungkan pernikahan pada 15 Ogos, dia gembira kerana berjaya menamatkan latihan dengan jayanya.

Muhamad Khairul berkata, kebiasaan pada hari bersejarah ini dikongsi bersama ahli keluarga namun pada kali ini tidak dibenarkan.

"Walaupun sedih kerana tidak dapat meraikan dengan insan tersayang, saya akur berikutan keadaan yang tidak mengizinkan ahli keluarga hadir menyaksikan perbarisan tamat latihan ini," katanya.

Katanya, dia bercita-cita mahu menjadi pegawai kanan polis yang berjaya satu hari nanti.

Sementara itu, pelatih terbaik keseluruhan Siri 3 2020, Mohamad Nasrul Hakim Mohd Razali, 22, berkata dia menyertai polis kerana meminati pasukan beruniform.

Pemegang Diploma Teknologi Pembuatan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) itu turut berkongsi kejayaan dengan ahli keluarga yang tidak dapat hadir meraikan kejayaan menamatkan latihan.

"Saya dimaklumkan pihak Pulapol ada membuat siaran langsung majlis dan berharap ahli keluarga di Machang, Kelantan menyaksikan siaran berkenaan," katanya.

Majlis penutup perbarisan tamat latihan itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Datuk Nerita Yaacob; Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusof dan Komandan Pulapol Air Hitam Asisten Komisioner Ali Ahmad.

Seramai 593 pelatih menamatkan latihan membabitkan siri 1 dan 2 yang bermula pada 13 September 2020 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 11:48 AM