Umi Nur Faizah bersama anak-anaknya dengan barangan lusuh yang dikumpulkan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Umi Nur Faizah bersama anak-anaknya dengan barangan lusuh yang dikumpulkan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Mengutip kotak lama, plastik dan tin minuman terbuang menggunakan basikal roda tiga. Itu rutin harian seorang ibu tunggal yang gigih mencari rezeki bagi menyara empat anak masih bersekolah.

Lebih meruntun jiwa apabila dua daripada anaknya turut sama membantu dengan menggunakan sebuah lagi basikal di sekitar Malim di sini.

Ibu tunggal terbabit, Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi, 38, berkata, dia tidak pernah memaksa dua anaknya untuk membantu mencari barangan terpakai untuk dijual.

Dia berkata, anak-anaknya seolah-olah memahami kepayahan dialami selepas suaminya, Mohd Yusni Mohd Yusof, meninggal dunia Januari lalu akibat komplikasi penyakit paru-paru berair.

Katanya, dia yang kini menetap di rumah peninggalan arwah suami di Kampung Bachang Pasir Putih di sini, berusaha memberikan kehidupan lebih baik kepada anaknya, Umi Nur Nimrah Nissa ,enam tahun, Umi Nur Arina Aufa, lapan tahun, Umi Umayrah,12 dan Umi Emelda.

Menurutnya, basikal roda tiga itu dihadiahkan seorang lelaki Cina yang simpati melihat dia membawa kotak dikutip menggunakan basikal kecil.

"Setiap pagi, saya akan bekerja di kedai makan berhampiran kampung manakala kerja mengutip barangan terpakai dilakukan pada waktu petang,

"Kami mampu memperolehi antara RM5 hingga RM10 hasil jualan barangan terpakai ini sehari. Namun dia bergantung hasil diperolehi," katanya.

Umi Nur Faizah berkata, dia tidak mendapat bantuan dari mana-mana agensi kerajaan setakat ini.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Tenaga Mahir Zon Selatan, Idris Jaffar berkata, pihaknya akan cuba memberi bantuan kemahiran kepada ibu tunggal terbabit dalam bidang jahitan, penyediaan makanan, pembuatan dan kraftangan.

Katanya, usaha itu diharap dalam mengubah nasib ibu tunggal terbabit.

Individu yang mahu membantu ibu tunggal terbabit boleh menyalurkan bantuan ke nombor akuan Bank Simpanan Nasional (BSN) 0413241100017311 atas nama Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 5:28 PM