Anggota bomba memadam kebakaran belukar di Alor Setar berikutan cuaca panas melampau ketika ini. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba memadam kebakaran belukar di Alor Setar berikutan cuaca panas melampau ketika ini. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


PEMBAKARAN terbuka di Kedah meningkat 50 peratus sehingga bulan ini berikutan cuaca panas melampau sejak awal tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Nazri Zakaria berkata, berdasarkan statistik, 599 kes kebakaran terbuka membabitkan lalang, belukar, sampah sarap jerami dilaporkan bulan ini berbanding hanya 380 kes tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan itu menunjukkan cuaca panas melampau berlaku tahun ini yang menyebabkan banyak rumput kering, daun dan ranting kering.

“Januari mencatatkan 314 kes tahun ini berbanding tahun lalu hanya 73 kes saja pada bulan sama.

“Ini termasuklah kebakaran membabitkan Gunung Baling yang berlaku baru-baru ini sehingga menyebabkan operasi pemadaman dilakukan sembilan hari,” katanya ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah, Alor Setar hari ini.

Nazri berkata, proses pemadaman di Gunung Baling turut menyebabkan pembaziran tenaga kerja anggota serta wang ringgit.

Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan kebakaran itu adalah peninggalan bahan yang mudah terbakar seperti bara alatan memasak atau puntung rokok yang dibuang sesuka hati.

“Ia nampak remeh tetapi ia boleh mengakibatkan kebakaran lebih besar dan boleh mengancam keselamatan penduduk.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada siang hari kerana cuaca terlalu panas dan boleh mengakibatkan api merebak dengan cepat,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan pula, Nazri berkata, siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran membabitkan feri penumpang Dragon Star 1 yang terbakar di Langkawi giat dilakukan Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah.

Beliau berkata, antara faktor penyebab kebakaran berlaku adalah dipercayai kusyen tempat duduk penumpang, cuaca dan angin kencang yang berkemungkinan menyebabkan api merebak dengan cepat.

“Siasatan sedang dilakukan yang turut disertai forensik agensi lain untuk mengenalpasti punca kejadian itu.

“Setiap feri penumpang diwajibkan mempunyai alat pemadam api mengikut kapasiti dan saiz feri berkenaan bagi memudahkan pemadaman awal dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:32 PM