Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Musim kemarau yang melanda negara membuka ruang kepada seorang pesawah untuk mencari alternatif bagi meneruskan kelangsungan hidup dengan menanam betik dan pelbagai sayur-sayuran.

Mohd Yusri Mustafa, 42, berkata dia yang mengusahakan tanaman padi sejak 23 tahun lalu 'mangli' setiap kali berdepan musim kemarau hingga menjejaskan jadual penanaman sekali gus menyebabkan periuk nasi terancam.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak boleh berdiam diri untuk mencari pendapatan bagi menyara keluarga termasuk empat anaknya berusia tiga hingga 14 tahun.

"Sebagai ketua keluarga, keadaan sekarang amat menekan saya untuk mencari nafkah tambah pula pendidikan sekarang memerlukan peranti seperti komputer riba dan sebagainya.

"Jika saya nak harapkan daripada tanaman padi, memang tidak cukup apatah lagi jadual penanaman mungkin akan berlaku kelewatan kerana cuaca panas pada ketika ini.

"Justeru, saya nekad menanam betik dan pelbagai sayuran antaranya terung dan jagung selepas mempelajarinya daripada beberapa rakan di mana saya berharap akan membuahkan hasil selepas enam bulan," katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Penaga, di sini, hari ini.

MOHD Yusri mengambil inisiatif menanam pokok betik sebagai alternatif untuk mencari pendapatan berikutan jadual penanaman padi dijangka berlaku kelewatan ekoran musim panas yang melanda negara pada ketika ini. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD
MOHD Yusri mengambil inisiatif menanam pokok betik sebagai alternatif untuk mencari pendapatan berikutan jadual penanaman padi dijangka berlaku kelewatan ekoran musim panas yang melanda negara pada ketika ini. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD

Menurutnya, dia menanam kira-kira 600 pokok betik serta pelbagai sayur-sayuran di atas tanah miliknya berkeluasan 1.52 hektar dengan dibantu seorang pekerja.

Katanya, terdapat kira-kira 70 pesawah di kawasannya terjejas ekoran jadual penanaman padi yang dijangka mengalami kelewatan berbanding pada pertengahan Mac ini disebabkan musim panas.

Pesawah lain Ismail Che Mat, 68, berkata dia yang mengusahakan sawah padi sejak bersara kira-kira 12 tahun lalu berharap dapat meneruskan jadual penanaman pada tepat pada masanya.

"Saya dimaklumkan air pertama akan masuk pada pertengahan Mac ini dan berharap sangat tiada kelewatan kerana selepas bersara inilah punca utama pendapatan.

"Pada masa sama, saya berharap isu pembelian benih padi sah juga dapat diatasi supaya pesawah mempunyai hak untuk membeli sendiri benih daripada pengedar yang kami sudah biasa sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 4:50 PM