ISMAIL Sabri melihat 'Sniper Rifle' ketika lawatan ke UPNM. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri melihat 'Sniper Rifle' ketika lawatan ke UPNM. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) mencadangkan supaya kuota pendaftaran kemasukan pelajar dari Maktab Tentera Diraja (MTD) ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ditambah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini 10 peratus kemasukan penuntut di dalam UPNM diberikan kepada pelajar MTD.

"Kita berbincang dan menyuarakan pandangan kepada KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) supaya membuka lebih banyak ruang kepada MTD untuk masuk ke UPNM.

"Mungkin boleh dinaikkan ke 30 hingga 40 peratus kuota tetapi ia tertakluk kepada perbincangan kita dengan KPT," katanya.

Ismail Sabri berkata, langkah itu perlu memandang graduan UPNM mempunyai kadar kebolehpasaran yang tinggi dalam kalangan majikan di mana lebih 90 peratus graduan ini mendapat pekerjaan.

Menurutnya, UPNM adalah universiti menggabungkan bidang ketenteraan dan akademik dan pelajar MTD sangat sesuai menyambung pelajaran ke UPNM.

Dalam perkembangan lain, beliau juga berharap UPNM dapat memperkasakan sektor kajian dan penyelidikan (R&D) bagi menghasilkan produk sesuai dengan kehendak Mindef.

"R&D yang dihasilkan UPNM ini bukan sekadar menghasilkan produk, tetapi jugaboleh dikomersialkan di mana selepas taklimat tadi saya sendiri pergi melihat produk dihasilkan itu dan banyak boleh dikomersialkan.

"Saya dah janji tadi jika produk yang dihasilkan bersesuaian dengan kehendak Mindef, maka Mindef boleh jadi pembeli utama setiap produk UPNM," katanya pada sidang media selepas lawatan pertama beliau ke UPNM, di sini, hari ini selepas menerajui kementerian itu tahun lalu.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Muez Abd Aziz; dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 3:27 PM