DATUK Mansor Othman bersama sebahagian pelajar UPNM yang menerima bantuan KPT Prihatin, hari ini.
DATUK Mansor Othman bersama sebahagian pelajar UPNM yang menerima bantuan KPT Prihatin, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman meluangkan masa dengan melakukan lawatan kerja di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini.

UPNM dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan Mansor turut diberi taklimat ringkas mengenai hala tuju dan perkembangan terkini universiti awam itu selain menyaksikan pameran penyelidikan.

"Mansor turut beramah mesra dengan penuntut dan Pegawai Kadet UPNM selain menyampaikan sumbangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin berupa komputer riba serta dermasiswa bernilai RM1,000 setiap seorang kepada penuntut yang memerlukan," katanya.

Turut hadir, Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Menurutnya, delegasi daripada KPT juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman berada di atas slot simulator kapal oleh Pusat Maritim UPNM sekali gus memberi pendedahan mengenai fasiliti dan infrastruktur dimiliki UPNM.

"UPNM menzahirkan ucapan penghargaan kepada beliau serta delegasi KPT, selain sumbangan dan kerjasama diberikan dalam memacu hala tuju universiti ke arah kemajuan serta produktiviti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 5:58 PM