GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Protokol perjalanan perlu diselaraskan di peringkat global bagi memacu pemulihan perjalanan udara di peringkat antarabangsa yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Presiden AirAsia Group (Penerbangan), Bo Lingam berkata, tinjauan AirAsia baru-baru ini terhadap prosedur dan protokol Covid-19 di negara-negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, China dan Australia mengesahkan keperluan perjalanan berbeza-beza di ASEAN.

Katanya, ia menyukarkan pelancong untuk memahami dan mematuhinya selain turut menyulitkan operasi syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan.

Beliau berkata, tanpa protokol perjalanan yang diselaraskan, pengesahan dokumen kesihatan dan perjalanan secara manual akan memakan lebih masa dan mungkin terdedah kepada kesalahan dan penipuan, terutamanya dengan peningkatan penggunaan perakuan kesihatan palsu.

"Covid-19 menjejaskan ramai orang terutamanya dalam industri pelancongan dan perhotelan. Untuk meneruskan perjalanan rentas sempadan dengan efektif dan selamat, kita memerlukan rangka kerja yang dipersetujui bersama dan diselaraskan di peringkat global.

"Kini, keperluan perjalanan di rantau ini bukan sahaja kompleks dan tidak seragam, malah gelembung perjalanan juga terhad dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kami menyambut baik pas perjalanan tertentu yang diperkenalkan atau masih dalam tahap ujian, tetapi apa yang diperlukan untuk kembali memacu perjalanan udara antarabangsa adalah penyelarasan antara negara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bo berkata, industri pelancongan harus bekerjasama melaksanakan protokol dan prosedur tetap untuk pengembara seperti keperluan ujian dan vaksinasi, pas kesihatan digital yang dipersetujui bersama dan pengembangan gelembung perjalanan merangkumi sektor pelancongan rekreasi.

Beliau berkata, kerjasama perlu untuk memacu perjalanan udara dan menyambut penerbangan antarabangsa dalam akan datang.

"Selain itu, kita menjangka antara 40 hingga 50 peratus rakyat di rantau ini akan divaksinasi pada suku ketiga 2021.

"Justeru, dasar perjalanan harus diperbaharui secara berkala mengikut keadaan semasa termasuk kemungkinan untuk membatalkan keperluan kuarantin. Contoh yang baik adalah di Filipina apabila mereka baru-baru ini menyelaraskan semua keperluan perjalanan di dalam negara dan memansuhkan peraturan yang tidak relevan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, laporan itu juga mendapati gelembung perjalanan yang dilaksanakan di rantau ini ketika ini hanya terhad kepada pelancong perniagaan dan perjalanan penting sahaja.

Katanya, pelancong perniagaan tidak dapat melonjakkan industri pelancongan kerana kebanyakan mesyuarat korporat kini dapat dilakukan secara dalam talian.

Oleh itu, beliau berkata, cadangan utama adalah untuk mengembangan gelembung perjalanan kepada pelancong rekreasi secara berperingkat bermula dengan destinasi di zon selamat.

Bo berkata, pengembangan itu dijangka memberikan kesan segera berdasarkan permintaan yang tinggi.

"Tambahan pula, risiko perjalanan dapat dikurangkan melalui pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan pelbagai langkah keselamatan termasuk perjalanan terkawal mengikut destinasi yang ditetapkan, jadual perjalanan tetap dan aplikasi pengesanan kontak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 12:15 PM