AirAsia menyambut baik pas perjalanan tertentu yang diperkenalkan atau masih dalam tahap ujian.
AirAsia menyambut baik pas perjalanan tertentu yang diperkenalkan atau masih dalam tahap ujian.

Kuala Lumpur: AirAsia dan beberapa pakar penerbangan dan pelancongan terkemuka menyarankan agar diselaraskan protokol perjalanan di peringkat global bagi memacu pemulihan perjalanan udara di peringkat antarabangsa.

Ia susulan pelancaran program vaksinasi di seluruh dunia dan perjalanan udara domestik dilihat akan kembali ke tahap sebelum berlakunya penularan Covid-19.

Presiden AirAsia Group (Penerbangan) Bo Lingam berkata, Covid-19 menjejaskan ramai pihak terutama dalam industri pelancongan dan perhotelan.

"Untuk meneruskan aktiviti perjalanan rentas sempadan dengan cekap dan selamat, kita memerlukan rangka kerja yang dipersetujui bersama dan diselaraskan di peringkat global.

"Kini, keperluan perjalanan di rantau ini bukan saja kompleks dan tidak seragam, malah gelembung perjalanan juga terhad dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kami menyambut baik pas perjalanan tertentu yang diperkenalkan atau masih dalam tahap ujian, tetapi apa yang diperlukan untuk kembali memacu perjalanan udara antarabangsa adalah penyelarasan antara negara," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, industri perjalanan dan pelancongan harus bekerjasama melaksanakan satu set protokol dan prosedur tetap untuk penumpang seperti keperluan ujian dan vaksinasi, pas kesihatan digital yang dipersetujui bersama dan pengembangan gelembung perjalanan merangkumi sektor pelancongan rekreasi.

"Kita harus bekerjasama untuk memacu perjalanan udara dan menyambut penerbangan antarabangsa dalam masa terdekat, yang juga memberi sumbangan amat diperlukan untuk ekonomi di peringkat global," katanya.

Bo berkata demikian berikutan tinjauan AirAsia baru-baru ini mengenai prosedur dan protokol Covid-19 di negara-negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, China dan Australia.

Tinjauan itu mengesahkan bahawa keperluan perjalanan adalah berbeza di seluruh rantau ASEAN, menjadikan ia sukar kepada pelancong untuk memahami dan mengikutinya.

"Protokol perjalanan berbeza di negara-negara lain di rantau ini turut menyulitkan operasi syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan.

"Tanpa protokol perjalanan yang diselaraskan, pengesahan dokumen kesihatan dan perjalanan secara manual akan memakan masa dan mungkin terdedah kepada kesalahan dan penipuan, terutamanya dengan peningkatan penggunaan perakuan kesihatan palsu.

"Selain itu, kita menjangka 40 peratus hingga 50 peratus populasi di rantau ini akan divaksinasi menjelang suku tahun ketiga 2021.

"Justeru, polisi perjalanan harus diperbaharui secara berkala mengikut keadaan semasa termasuklah kemungkinan untuk membatalkan keperluan kuarantin.

"Contoh yang baik adalah di Filipina di mana mereka baru-baru ini telah menyelaraskan semua keperluan perjalanan di dalam negara dan memansuhkan peraturan yang tidak relevan," katanya.

Laporan itu juga menyimpulkan bahawa gelembung perjalanan yang kini dilaksanakan di rantau ini hanya terhad kepada pelancong perniagaan dan perjalanan penting saja.

"Pelancong perniagaan tidak dapat melonjakkan industri pelancongan kerana kebanyakan mesyuarat korporat kini dapat dilakukan secara dalam talian.

"Cadangan utama adalah untuk mengembangkan gelembung perjalanan kepada pelancong rekreasi secara berperingkat bermula dengan destinasi di zon selamat.

"Pengembangan ini dijangka memberikan kesan segera berdasarkan permintaan yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, katanya, AirAsia bakal melancarkan teknologi pengecaman wajah biometrik di lapangan terbang utama, bermula dengan klia2 di Malaysia pada bulan April sebagai salah satu produk dan perkhidmatan baharu untuk menjadikan penerbangan lebih selamat dan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 7:01 AM