Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat. - FOTO NSTP
BERNAMA

Sepang: AirAsia menjangkakan peningkatan lebih daripada 70 penerbangan antarabangsa seminggu bagi minggu pertama pembukaan semula sempadan mulai 1 April 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Malaysia, Riad Asmat berkata angka penerbangan antarabangsa itu dijangka mencecah 250 seminggu menjelang akhir April.

"AirAsia menyambut baik pengumuman kerajaan Malaysia untuk membuka sepenuhnya sempadan antarabangsa pada 1 April, kami kini bersedia.

"Saya yakin perjalanan yang lancar akan dapat direalisasikan sama ada cepat atau lambat," katanya semasa taklimat media mengenai persediaan syarikat penerbangan itu bagi pembukaan semula sempadan di sini, pada Selasa.

Beliau berkata sejak AirAsia menyambung semula operasinya melalui gelembung perjalanan dengan tumpuan kepada perkhidmatan domestik, ia juga telah menyaksikan penyambungan semula penerbangan antarabangsa secara beransur-ansur seiring dengan pembukaan semula sempadan di seluruh dunia.

Susulan sekatan perjalanan yang semakin longgar, kumpulan syarikat penerbangan AirAsia telah meningkatkan kapasiti penerbangan domestik sebanyak 156 peratus sejak Oktober 2021, bermula dengan gelembung perjalanan Langkawi.

Kapasiti untuk penerbangan antarabangsa pula meningkat sebanyak 50 peratus sejak pengumuman pembukaan semula sempadan pada April dibuat oleh kerajaan Malaysia pada 8 Mac 2022.

Riad berkata sejumlah 75 pesawat beroperasi pada masa ini secara keseluruhan dalam kumpulan.

Ini juga disokong oleh pembukaan semula sempada negara lain seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Vietnam, katanya.

Walaupun AirAsia kini mempunyai beberapa laluan antarabangsa yang sedang beroperasi, namun pengumuman pembukaan semula negara pasti memberikan rangsangan penting untuk menyokong kapasiti tambahan bagi kebanyakan pasaran antarabangsa utama AirAsia, sejajar dengan jangkaan peningkatan permintaan yang terpendam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Bo Lingam berkata pendapatan syarikat dijangka pulih kepada tahap sebelum pandemik Covid-19 melanda, pada akhir 2022 dengan harapan harga bahan api mengalami penurunan pada masa itu.

"AirAsia menyambut baik keputusan kerajaan di rantau ini untuk membuka semula sempadan, menghapuskan sekatan perjalanan dengan keperluan ujian covid-19 yang minimum.

"Kami amat teruja untuk menyambung semula lebih banyak penerbangan di semua pasaran utama AirAsia di Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia di samping menambah perkhidmatan tambahan ke beberapa destinasi antarabangsa popular AirAsia termasuk Bali, Manila, Bangkok, Ho Chi Minh City, Phuket dan banyak lagi, bermula April," katanya.

Beliau berkata operasi penerbangan domestik di seluruh kumpulan juga semakin rancak dengan AirAsia baru-baru ini melancarkan empat laluan domestik baharu di Malaysia dari Kuching ke Langkawi, Pulau Pinang ke Sibu, Johor Bahru ke Bintulu dan Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu pada tahun ini.

Bo berkata di peringkat rantau, pihaknya juga menyaksikan perkembangan yang memberangsangkan bagi perkhidmatan domestik dan antarabangsa di Thailand, Filipina dan Indonesia.

"AirAsia akan terus menyemak rangkaiannya yang berkembang dengan didorong beberapa faktor termasuk permintaan. Perkhidmatan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat apabila sempadan negara-negara lain dibuka semula secara beransur-ansur," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan domestik di seluruh kumpulan telah meningkat sebanyak 156 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, didorong oleh permintaan pengguna yang ketara, manakala sebanyak 50 peratus bagi antarabangsa.

"Justeru, kami menjangkakan untuk kembali kepada tahap sebelum Covid-19 sepenuhnya atau lebih tinggi lagi menjelang penghujung tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 5:40 PM