Murid SK Seri Tasik, Maira Syamimah, 10, belajar di rumah dengan menonton Bahasa Inggeris  tahun 4 sesi  jam 9.45am pada DidikTV KPM bersiaran di NTV7.
Murid SK Seri Tasik, Maira Syamimah, 10, belajar di rumah dengan menonton Bahasa Inggeris tahun 4 sesi jam 9.45am pada DidikTV KPM bersiaran di NTV7.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kewujudan saluran DidikTV alternatif terbaik kepada pelajar dan murid yang menghadapi masalah mendapatkan peranti dan capaian Internet terutama bagi di luar bandar dan kurang berkemampuan.

Profesor Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed dari Akademi Profesor Malaysia berkata, menerusi saluran pendidikan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sesuai dengan keperluan dan kehendak masyarakat, malah ibu bapa juga dapat bersama memantau PdPR anak masing-masing.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar rungutan pelajar dan ibu bapa serta cadangan ahli akademi tentang penggunaan televisyen sebagai saluran alternatif dalam pendidikan persekolahan.

"Kita tidak nafikan pembelajaran dalam talian mempunyai potensi yang sangat luas tetapi disebabkan pencapaian Internet lemah di banyak kawasan dan harga peranti komputer di luar kemampuan ramai keluarga B40 maka televisyen pendidikan menjadi satu lagi alternatif untuk golongan ini," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, capaian televisyen lebih menyeluruh memandangkan hampir semua isi rumah memilikinya sebagai satu alat penyampaian maklumat dan hiburan.

"Penggunaan televisyen memungkinkan bakat guru terbaik dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua pelajar dan sekolah di negara ini.

"Penampilan guru ketika menyampaikan pengajaran dalam televisyen juga lebih nyata kerana visualnya lebih jelas dan suasananya mirip seperti dalam kelas.

"Teknik pengajaran televisyen ini juga mampu menarik minat pelajar terhadap topik atau subjek yang sedang diajar kerana lebih bersifat interaktif jika digabungkan dengan semua alat bantu audio dan visual lain seperti gambar, carta, filem, slaid mikro, grafik serta projektor," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyarankan TV Pendidikan sebagai pengganti kepada pembelajaran kelas fizikal atau pembelajaran maya selain hanya sebagai saluran alternatif dan tambahan bagi melancarkan PdPR sedia ada.

"Televisyen tidak mempunyai kontak individu maka tindakan selanjutnya tidak mungkin boleh dilakukan selain daripada melihat dan mendengar, namun ini dapat diatasi dengan mengadakan perbincangan kumpulan antara guru dan pelajar selepas program sama ada melalui WhatsApp, emel dan platform lain.

"Selain itu, terdapat juga perbezaan dalam latar belakang intelektual pelajar, namun masalah ini dapat diatasi apabila guru memberikan maklumat latar belakang tambahan sebelum program ini bermula bagi membolehkan semua pelajar bersedia mengikuti sesi pembelajaran.

"Saya juga menyarankan TV pendidikan menyediakan program khas (sampingan) seperti pernah dilakukan dalam 'programmed learning'," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan DidikTV KPM yang mula bersiaran di saluran NTV7 dalam usaha membolehkan pelajar dan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui televisyen dan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 8:01 AM