Muhammad Iman Rosli 13, menonton saluran DidikTV sambil belajar ketika ditemui rumahnya di Gombak. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN
Muhammad Iman Rosli 13, menonton saluran DidikTV sambil belajar ketika ditemui rumahnya di Gombak. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN

Kuala Lumpur: Ibu bapa kini boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan TV Pendidikan dikenali DidikTV KPM sebagai antara usaha menyelesaikan permasalahan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

DidikTV KPM akan bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari mulai esok dengan majlis pelancarannya disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 8 pagi.

Jurukimpal, Mohd Ridzuan Mohd Yusof, 40, berkata, dia bersyukur susulan wujudnya DidikTV KPM kerana dapat membantu menyelesaikan masalah PdPR terutama buat mereka yang tinggal di pedalaman.

"Diharap dengan wujudnya DidikTV KPM dapat membantu anak saya berusia tujuh dan 10 tahun untuk lebih fokus dalam pembelajaran.

"Malah, penggunaan pembelajaran secara grafik dan animasi di DidikTV KPM pastinya menarik minat murid untuk belajar," katanya.

Menurutnya, dia berharap DidikTV KPM diteruskan pada masa akan datang dan tidak hanya tertumpu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, kewujudan DidikTV KPM boleh mengatasi kekangan peralatan peranti elektronik dan capaian Internet yang dihadapi pelajar terutama di luar bandar.

"Perancangan untuk Perdana Menteri menyempurnakan pelancaran saluran itu pada hari pertama siarannya juga menunjukkan satu petanda bahawa negara begitu prihatin terhadap pendidikan," katanya dalam panggilan video secara langsung di Buletin Bernama yang disiarkan Bernama TV, semalam.

Beliau berkata, dengan adanya DidikTV KPM, pendidikan yang berkualiti dan bermutu tinggi dapat dicapai oleh semua rakyat negara ini tanpa berlakunya keciciran terutama mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

Sementara itu, KPM berkata, inisiatif mewujudkan saluran khusus itu adalah usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua murid di seluruh negara.

"Sebelum ini, KPM menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV@ntv7.

"Kini buat pertama kalinya, KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari," katanya.

Siaran DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV UNIFI.

"Selain itu, bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

"DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM," katanya.

Saluran berkenaan akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur serta kandungan yang dihasilkan oleh murid selain program antarabangsa yang bersesuaian.

"DidikTV KPM juga satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 8:44 AM