Muhaamad Hafis Nawawi dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sebanyak 2,720 kes baharu Covid-19 dengan lapan kematian dicatatkan, setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kes kumulatif ialah 269,165 manakala jumlah kematian mencecah 983 kes.

Beliau berkata, kes sembuh pula mencatatkan 5,718 kes iaitu jumlah sembuh tertinggi setakat ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 224,053 kes.

"Tiada kes import dilaporkan hari ini dan semua kes baharu itu membabitkan kes tempatan merangkumi 1,391 warganegara dan 1,329 bukan warganegara.

"Sebanyak 253 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 118 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, sebanyak 19 kes kluster baharu dikesan hari ini membabitkan 14 berkaitan di tempat kerja, empat di komuniti dan satu daripada kumpulan berisiko tinggi.

Menurutnya, kluster baharu di Johor dikesan di tempat kerja di Pengerang, Wawasan Kulai, Industri Cyber dan Jalan Pelepas Empat diikuti Selangor di Rawang Bestari, Jalan Industri Dua Belas, Jalan Industri Tiga dan Jalan Lazuardi.

"Di Sabah kluster baharu dikesan di Simpang Tiga dan Jalan Apas Empat diikuti Kuala Lumpur di Tapak Bina Jalan Segambut, Jengka Tujuh di Pahang dan Jalan Day, Kedah serta Jalan Kayu Manis, Perak.

"Selain itu, kluster komuniti di Sarawak dikesan di Gelong, Kidurong Dua, Kampung Sungai Maong dan Univista manakala satu kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi Jalan Geronggang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 9:11 PM