Saipul Adli Mohamad; Amir Abd Hamid dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JUMLAH kes harian Covid-19 dilaporkan didapati terus meningkat dan membimbangkan terutama kes penularan di dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada 9 Julai lalu jumlah kes aktif didapati menurun kepada 63 kes, namun mula meningkat kepada lebih 100 kes pada 19 Julai dan kini ia mencecah 130 kes.

"Sehingga 21 Julai, jumlah kluster aktif adalah 19 kluster iaitu terdapat 13 kluster baharu diumumkan dalam 10 hari kebelakangan ini.

"Tiga daripada 13 kluster itu berkaitan dengan penularan tempatan kes Covid-19 daripada kes import iaitu Kluster individu dalam siasatan (PUI) Novgorod, PUI Shirala dan PUI Pitakwa.

"Kluster Jupiter tidak mengakibatkan penularan tempatan memandangkan ia kluster terpencil (isolated) di dalam sebuah kapal yang sedang berlabuh," katanya pada sidang media harian Covid-19 Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menyambut baik keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri yang mewajibkan prosedur kuarantin wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Stesen Kuarantin ditetapkan kerajaan berkuat kuasa Jumaat ini.

Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, tindakan itu diharap dapat mengelakkan daripada berlaku lagi kluster seperti ini.

"Namun begitu, harus diingat terdapat sembilan kluster lain dengan penularan berkaitan kes tempatan di dalam negara dan tidak berkaitan dengan kes import.

"Ini menunjukkan masyarakat sememangnya mulai alpa dan leka, lalu mula tidak mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 6:00 PM