KOMUNITI penggunting rambut menganjurkan program amal menggunting rambut gelandangan. FOTO Ihsan Pembaca
KOMUNITI penggunting rambut menganjurkan program amal menggunting rambut gelandangan. FOTO Ihsan Pembaca
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kebenaran menggunting rambut yang diberikan kerajaan dimanfaatkan sekumpulan pengunting rambut melakukan kerja amal memotong rambut gelandangan di ibu kota bagi membolehkan golongan itu tampil lebih kemas di khalayak ramai.

TN Winda Mohd Tahir bersama lima tukang gunting mengambil inisiatif menggunting rambut 80 gelandangan itu melalui program 'Khidmat Amal Covid-19: Gunting Rambut Perdana' di Pusat Sementara Gelandangan Pusat Komuniti Sentul Perdana, semalam.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pertubuhan Dai Kuala Lumpur (DAIKL).

Winda yang juga Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia berkata, dia dan rakan yang lain memang berhasrat membantu golongan itu sekali gus memanfaatkan kebenaran menggunting rambut diberikan kerajaan

"Mereka tidak berkemampuan untuk menggunting rambut, malah tidak terurus.

"Gelandangan juga perlu terurus dan dengan kemahiran yang kami miliki adalah lebih baik disumbangkan kepada komuniti ini," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, aspek kebersihan dan kekemasan diri juga antara objektif program berkenaan dianjurkan.

Katanya, program sedemikian akan diperluaskan lagi pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai tukang gunting.

"Saya berharap program amal ini akan mendapat sambutan lebih baik daripada komuniti tukang gunting seluruh negara.

"Di saat kita bergelut dengan kesusahan kerana Covid-19 tetapi harus diingat masih ada lagi yang memerlukan perhatian dan bantuan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 5:32 PM