KELUARGA Nur Shafika ketika merayakan hari jadi bapa dan ibunya.
KELUARGA Nur Shafika ketika merayakan hari jadi bapa dan ibunya.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Setiap kali pokok rambutan di kampung berbuah, pasti kami 12 beradik akan pulang menikmatinya bersama-sama.

"Tetapi tidak pada kali ini akibat pandemik Covid-19 yang juga menyebabkan kami sudah hampir setahun tidak berkumpul," kata Nur Shafika Abdul Razak.

Nur Shafika, 27, berkongsi kisah itu selepas perkongsiannya tular di media sosial mengenai bapanya, Abdul Razak Ariffin, 67, yang sanggup mengirimkan buah rambutan kepada enam orang anaknya yang tinggal berjauhan menggunakan perkhidmatan penghantaran.

Menerusi perkongsian video itu juga, bapanya gigih menyiapkan asam keping buatan sendiri untuk dimuatkan di dalam kotak penghantaran bersama buah tempatan itu.

Malah, bapanya juga menimbang sama rata setiap bungkusan agar anak-anaknya mendapat buah tangan yang sama banyak.

Berkongsi lanjut, Nur Shafika berkata, bapanya pernah menyatakan hasrat agar anak-anaknya pulang ke kampung halaman di Sik, Kedah pada hari jadinya pada April lalu.

BUNGKUSAN rambutan dan asam keping yang dikirim Abdul Razak.
BUNGKUSAN rambutan dan asam keping yang dikirim Abdul Razak.

"Mungkin kerana itu, ayah sanggup hantar rambutan dan buat sendiri asam keping untuk kami sebagai tanda ucap kerinduannya. Masa hari jadi ayah pun kami hanya buat panggilan video beramai-ramai.

"Perayaan Aidilfitri dan Aidiladha tahun ini juga berbeza buat kami adik-beradik yang jauh dari orang tua kami kerana hanya panggilan telefon menjadi pengubat rindu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, enam adik-beradiknya yang menerima bungkusan rambutan dan asam keping dari bapanya itu tinggal di bandar dan negeri berbeza.

"Ada yang tinggal di Kulim, Kedah, Penang dan Perak manakala saya pula di Selangor.

"Tiga beradik lain pula tinggal berdekatan dan tiga lagi tinggal di kawasan kampung yang ada pokok rambutan," katanya yang menetap di Bangi, Selangor.

Kongsinya, dia sebak ketika mendapat bungkusan itu selepas menunggu dua hari tempoh penghantaran tiba.

"Masa saya makan rambutan itu, mengalir air mata kerana terlalu rindu akan ibu dan ayah.

"Saya rasa bukan saya saja yang mahu pandemik ini segera habis, tetapi semua rakyat negara kita mengharapkan perkara sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:00 AM