NORHANA  (kiri) bersama ahli keluarganya menyambut Tahun Baharu Cina.
NORHANA (kiri) bersama ahli keluarganya menyambut Tahun Baharu Cina.
Hanneeyzah Bariah Baharin


KUALA TERENGGANU: Menyantuni dan meraikan ahli keluarga serta masyarakat Tionghoa menyambut Tahun Baharu Cina sudah menjadi tradisi buat Datin Norhana Ng Abdullah biarpun beliau sudah 35 tahun memeluk Islam.

Ibu kepada empat anak berusia 21 hingga 26 tahun itu bukan saja meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga, sebaliknya turut menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik, sekali gus memeriahkan lagi sambutan.

Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu itu berkata, bergelar wanita Muslim tidak bermakna dia perlu memutuskan hubungan silaturahim dengan masyarakat Cina terutama ahli keluarga sendiri.

Pengerusi Persatuan Darul Fitrah Malaysia (PDFM) Terengganu itu berkata, baginya menyantuni masyarakat Tionghoa setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina sudah menjadi satu tanggungjawab.

“Menerusi usaha ini saya harap dapat mengekalkan hubungan silaturahim meskipun berbeza agama. Secara tidak langsung saya dapat berdakwah dan menerangkan kepada mereka yang berminat mengenai Islam.

“Alhamdulillah kunjungan saya disambut baik masyarakat Tionghoa walaupun penampilan dan agama saya berbeza dengan mereka,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina di Kampung Cina, di sini, semalam.

Norhana berkata, setiap kali Tahun Baharu Cina dia bersama keluarga akan pulang ke kampung di Kajang, Selangor untuk bersama-sama meraikan sambutan itu.

NORHANA (tiga kiri) menyantuni masyarakat Cina di Kampung Cina, Kuala Terengganu, dengan menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina. FOTO/HANNEEYZAH BARIAH BAHARIN
NORHANA (tiga kiri) menyantuni masyarakat Cina di Kampung Cina, Kuala Terengganu, dengan menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina. FOTO/HANNEEYZAH BARIAH BAHARIN

“Ahli keluarga sudah faham mengenai apa yang boleh dan tidak boleh, mereka sangat menghormati kami sebagai Muslim.

“Keluarga menyediakan makanan tradisi seperti mi sua dimasak menggunakan periuk dan kuali khas untuk kami.

“Hubungan kami adik-beradik masih akrab macam dulu, saya tidak jemu berkongsi pengetahuan mengenai Islam bersama mereka. Mana tahu satu hari nanti mereka terbuka hati memeluk Islam,” katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, selepas kematian suaminya, Allahyarham Datuk Mohamed Anuar pada 2004, dia aktif dalam program dakwah sekitar negeri ini.

“Macam inilah saya setiap hari, sibuk uruskan program dakwah dan kelas agama. Saya suka menyampaikan dakwah kepada pelancong dengan membawa mereka melawat rumah ibadat sambil menerangkan mengenai keindahan Islam,” katanya.

“Ramai memberitahu, mereka sebelum ini mendapat gambaran dan maklumat tidak tepat mengenai Islam.

“Syukur usaha saya berdakwah ini banyak membuka mata mereka, malah ramai juga yang kemudian memeluk Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 8:15 AM