Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan lebih 1,000 kes berbanding semalam apabila 4,214 kes direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 219,173 kes dengan kebolehjangkitan 48,074 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sembilan kes import dilaporkan, manakala 4,205 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,362 kes diikuti Johor (1,068 kes) dan Kuala Lumpur (702 kes).

"Sebanyak 115 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Taiping (81 kes), Kluster Tembok Renggam (25 kes), Kluster Tembok Mempaga (7 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes) dan Kluster Tembok Kemus (1 kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 316 kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 137 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 4,280 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 170,329 kes atau 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat 10 kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan tiga kes di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Johor, Labuan, Sarawak, Selangor, Perak, Melaka dan Terengganu.

"Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 770 kes atau 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 7:03 PM