FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pelaksanaan solat Jumaat di Terengganu hanya dibenarkan untuk 40 jemaah sahaja dalam kalangan anak mukim berkuat kuasa mulai Jumaat ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda bagaimanapun berkata 40 jemaah itu tidak termasuk imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid dan mana-mana individu yang diberi kebenaran oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

Menurutnya, pelaksanaan solar fardhu secara berjemaah di masjid dan surau pula dibenarkan kepada imam, bilal, ahli jawatankuasa masjid dengan bilangan tidak melebihi 12 individu.

"Sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain termasuk kuliah Maghrib, Subuh dan Dhuha adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

"Jawatankuasa masjid dan surau diarahkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan arahan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)," katanya melalui kenyataan hari ini.

Osman berkata perkara itu mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tegasnya, semua Pegawai Agama Daerah (PAD) diarah untuk membuat pemantauan secara serius bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sultan Mizan juga menitahkan supaya rakyat tidak alpa dan sentiasa berwaspada dengan penularan pandemik Covid-19, yang semakin meningkat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 8:34 PM