GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Hanya 12 jemaah dalam kalangan ahli kariah termasuk ahli jawatankuasa pengurusan selain pegawai, dibenarkan menunaikan solat Jumaat, di masjid dan surau Jumaat negeri ini berkuat kuasa bermula esok.

Sementara, bagi solat fardu lima waktu pula, hanya empat jemaah dibenarkan membabitkan imam, bilal dan noja masjid atau surau sahaja.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan had baharu jemaah di masjid dan surau negeri ini berkuat kuasa mulai esok sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

"Berdasarkan laporan peningkatan penularan kes Covid-19 di negara kita yang menyebabkan 91 masjid dan surau di Johor ditutup sementara sehingga semalam, maka had bilangan jemaah masjid dan surau bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat di negeri ini terpaksa dihadkan.

"Mulai esok, jemaah masjid dan surau Jumaat di negeri ini dihadkan kepada 12 orang termasuk ahli jawatankuasa pengurusan kariah dan pegawai namun ia tidak termasuk imam, bilal dan noja.

"Bagi solat fardu lima waktu pula, hanya empat jemaah dibenarkan membabitkan imam, bilal dan noja sahaja," katanya.

Khamis lalu, hanya 50 jemaah dalam kalangan ahli kariah termasuk ahli jawatankuasa pengurusan kariah dan pegawai masjid dan surau jumaat, dibenarkan dalam pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dalam tempoh PKP 3.0.

Arahan itu berkuat kuasa mulai 21 Mei lalu dan dijadualkan sehingga 7 Jun lalu, sebelum negara dikejutkan dengan peningkatan mendadak penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, kenyataan terbaharu JAINJ itu turut mengehadkan jemaah di surau kariah kepada hanya empat jemaah sahaja membabitkan imam, bilal dan noja sahaja.

"Jarak antara saf juga hendaklah diselangkan manakala ruang solat bagi musafir adalah tidak dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 3:30 PM