GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Solat Jumaat di semua masjid di 15 mukim di daerah Besut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, ahli kariah hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat Zuhur di kediaman masing-masing.

Katanya, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan solat fardu berjemaah di masjid dan surau dengan bilangan jemaah maksimum lima orang membabitkan pegawai dan jawatan kuasa masjid serta surau.

"Laungan azan di masjid dan surau dibenarkan sebagai makluman masuknya waktu solat kepada ahli kariah.

"Aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan adalah tidak dibenarkan manakala solat jenazah di masjid dan surau tidak dibenarkan," katanya melalui kenyataan pelaksanaan kebenaran aktiviti ibadat di masjid dan surau dalam tempoh PKPD di daerah Besut yang berkuat kuasa hari ini hingga 4 Jun depan.

Osman berkata, pengurusan dan solat jenazah hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan hanya membabitkan kehadiran pegawai dan jawatan kuasa masjid atau ahli keluarga terdekat tidak melebihi 20 orang.

Katanya, pengurusan pengebumian jenazah di tanah perkuburan dilaksanakan dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid serta petugas atau ahli keluarga si mati saja.

"Masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

"Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan serta garis panduan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)," katanya.

Osman berkata, Sultan Mizan meminta rakyat khususnya di kawasan dikenakan PKPD mematuhi setiap arahan dikeluarkan pihak berkuasa dan menyeru turut bersama memainkan peranan dengan petugas barisan hadapan dalam menangani Covid-19 daripada terus merebak.

"Sultan Mizan menzahirkan kebimbangan akan peningkatan kes positif jangkitan harian Covid-19 di Besut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 4:07 PM