FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Semua masjid dan surau dibenarkan meneruskan aktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti dikuatkuasakan kerajaan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam)), Datuk Osman Muda berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan aktiviti solat fardu berjemaah dan solat Jumaat serta aktiviti kuliah harian diteruskan.

Beliau berkata, kebenaran semua aktiviti di masjid dan surau diadakan termasuk di dua daerah di negeri ini yang dikategorikan sebagai Zon Merah itu selepas mendapat pandangan daripada Jabatan Kesihatan negeri Terengganu (JKNT).

"Walaupun kebenaran diberikan, jawatankuasa masjid dan surau diminta sentiasa memastikan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) diutamakan.

"Jawatankuasa masjid dan surau perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pengurusan solat serta aktiviti termasuk kuliah berjalan lancar dengan mematuhi SOP kesihatan serta keselamatan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Osman berkata, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu diberi kuasa mengambil tindakan terutama menutup masjid dan surau yang gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau berkata, Sultan Mizan turut mengarahkan pegawai agama daerah melakukan pemantauan secara serius bagi memastikan jawatankuasa masjid dan surau mematuhi SOP ditetapkan.

"Baginda menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif Covid-19 dan meminta jawatankuasa masjid dan surau serta jemaah memainkan peranan dalam memastikan semua arahan, peraturan ditetapkan dipatuhi bagi menghalang risiko jangkitan pandemik dapat dikawal sepenuhnya.

"Sultan Mizan turut meminta semua masjid serta surau mengadakan solat hajat dan bermunajat dan berdoa agar penularan pandemik Covid-19 dapat dikawal daripada terus merebak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 5:28 PM