FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar


SULTAN Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan berlangsung di masjid serta surau negeri itu berkuat kuasa esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kebenaran itu bagaimanapun masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, Maidam juga membenarkan penceramah lantikannya dan yang bertauliah menyampaikan kuliah di masjid dan surau.

"Jawatankuasa masjid dan surau diminta membuat pemantauan supaya SOP dipatuhi jemaah," katanya melalui kenyataan hari ini.

Osman berkata, Sultan Mizan turut menyeru rakyat agar tidak mengambil ringan setiap arahan KKM dalam mengekang penularan Covid-19.

"Arahan memakai pelitup muka berkuat kuasa esok juga perlu dipatuhi terutama apabila berada di kawasan ramai orang," katanya.

Aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di semua masjid serta surau di seluruh Terengganu dilarang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 6:05 PM