FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Solat fardu berjemaah dan solat Jumaat dibenar diadakan di semua masjid dan surau negeri ini, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 hingga 18 Februari.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, kebenaran itu selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Katanya, jumlah jemaah dibenarkan bersolat adalah mengikut kapasiti masjid dan surau namun, pihak pengurusan perlu memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu tidak memasang penyaman udara sepanjang solat berlangsung, membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.

"Selain itu, jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas dan ruang wuduk sebanyak tiga kali seminggu.

"Pihak itu juga bertanggungjawab sepenuhnya dalam mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sekiranya gagal, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid atau surau berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, aktiviti kuliah harian dan aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan lain masih tidak dibenarkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 6:05 PM