SKUAD Misi Bantuan Kasih UKM menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Pahang. FOTO Ihsan UKM
SKUAD Misi Bantuan Kasih UKM menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Pahang. FOTO Ihsan UKM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Skuad Misi Bantuan Kasih memulakan perjalanan ke Kuala Krai, Kelantan bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, fasa pertama misi akan ke Kelantan dan seterusnya ke Pahang antara negeri paling teruk terjejas dengan bencana banjir tahun ini.

"Usaha untuk mengumpul sumbangan bagi misi bantuan itu dimulakan sejak 22 Disember lalu dengan jumlah keseluruhannya mencecah hampir RM15,000.

"Saya amat berbangga dengan keprihatinan warga UKM yang memberi sumbangan, saya berharap usaha murni warga UKM dan alumni ini akan berterusan dalam membawa aspirasi UKM untuk terus berbakti kepada masyarakat yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kira-kira 500 keluarga di daerah Kuala Krai yang terjejas akibat banjir menerima bantuan berbentuk wang tunai, barangan keperluan asas seperti beras, gula dan tepung.

Sementara itu, dalam misi yang sama, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM menerusi Program Kerja Sosial menghantar bantuan banjir ke Kota Tinggi, Johor.

Pengarah Pusat Hal-Ehwal Pelajar Prof Madya Dr Mohd Suhaimi berkata, projek Amal Limpahan Kasih FSSK UKM tercetus hasil daripada maklumat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor berkaitan dengan keperluan segera bantuan barangan untuk mangsa banjir.

"Hasil daripada maklumat berkenaan pihak FSSK terpanggil untuk menggerakkan misi bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas dengan banjir di Kota Tinggi.

"Pelaksanaan program ini juga dijayakan dalam tempoh yang singkat iaitu selama enam hari bermula 5 Januari lalu," katanya.

Misi bantuan ini adalah kerjasama bersama Institut Onn Jaafar, The Lost Food Project, Syarikat Bigwealthy Global Sdn Bhd dan Persatuan Profesional Islam Anak Johor (GAPHOR) serta Alternative Riders Club yang menjadi sukarelawan bagi membantu penyerahan sumbangan tersebut di Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 10:55 PM