TIGA premis menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital atau kripto yang disyaki mencuri bekalan elektrik diserbu polis di sini, semalam. FOTO Ihsan Polis
TIGA premis menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital atau kripto yang disyaki mencuri bekalan elektrik diserbu polis di sini, semalam. FOTO Ihsan Polis
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Tiga premis menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital atau kripto yang disyaki mencuri bekalan elektrik diserbu polis di sini, semalam.

Tujuh lelaki yang juga penjaga premis berkenaan berusia 20-an turut ditahan dalam operasi bermula 4 petang hingga 7 malam itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso berkata, serbuan itu dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Perak Tengah bersama pasukan operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, ketiga-tiga premis berkenaan disyaki melakukan penyambungan elektrik secara haram di premis berkenaan.

"Siasatan awal mendapati penggunaan elektrik di premis berkenaan terlalu tinggi dan menjurus kepada kegiatan mencurigakan yang tidak sepadan dengan kadar penggunaan premis perniagaan.

"Selain itu, ada rungutan orang ramai terutama peniaga di premis berhampiran terhadap bunyi kuat yang mengganggu operasi kedai dan ketenteraman awam dipercayai daripada aktiviti kripto," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah Perodua Alza, 154 mesin melombong wang digital bersama bekalan kuasa, 23 papan pemuka bitcoin dan gulungan wayar elektrik jenis tembaga.

"Turut dirampas lapan modem Internet, dua set komputer, tiga telefon bimbit, lima kotak suis pengagihan kuasa elektrik (DB) dan sebuah baldi aluminium berisi pelbagai jenis kunci.

"Tujuh lelaki yang ditahan itu dipercayai individu yang bertanggungjawab dalam operasi kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

"Semua yang ditahan itu direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Barudin berkata, polis akan mengesan serta mengenal pasti rangkaian sindiket itu dalam usaha membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab berkenaan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Perak Tengah di talian 05-3712222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 3:28 PM