SHARUL (kiri) dan Sukri menunjukkan kabel penyambungan haram di IPD Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
SHARUL (kiri) dan Sukri menunjukkan kabel penyambungan haram di IPD Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Polis berjaya membongkar kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan melombong mata wang kripto bitcoin yang mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian RM648,000 di Pusat Perniagaan Pekan Pulau Sebang, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, kegiatan di tingkat dua premis rumah kedai itu dikesan selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menyerbu premis berkenaan 3.30 petang semalam.

"Serbuan dilakukan selepas pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesan ada penyambungan tidak sempurna di pencawang padat premis berkenaan.

"Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan tiada sesiapa di dalam premis itu dan polis terpaksa memecahkan kunci pintu premis berkenaan," katanya pada sidang media di IPD Alor Gajah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua JSJ negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu serta Jurutera TNB Mohd Satari Mohamad.

Berikutan itu polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang datang ke premis berkenaan pada jam 4 petang semalam dan ditahan reman dua hari mulai hari ini bagi membantu siasatan, katanya.

Sharul berkata, pemeriksaan menjumpai 700 unit mesin melombong mata wang berkenaan dan pemotongan kabel di pencawang padat dilakukan pegawai TNB.

"Rampasan mesin dan nilai kerugian TNB itu adalah yang terbesar di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor setakat ini," katanya.

Beliau menjelaskan, kegiatan melombong itu membabitkan penggunaan arus elektrik yang tinggi tetapi pihak mengendalikan perlombongan haram itu hanya membayar bil semasa tenaga elektrik RM10 sebulan selepas membuat penyambungan haram.

Katanya, pihak berkenaan sengaja menjadikan premis di kawasan perniagaan baharu dibuka untuk mengelakkan kegiatan mereka dikesan.

"Ini kerana premis itu jauh dari pusat komersial lain dan terpencil daripada perhatian masyarakat awam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 4:18 PM