HIASAN.
HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Jadikan golongan pekerja warga asing sebagai sasaran kegiatan samun berkumpulan bersenjatakan pisau.

Itu kegiatan tiga lelaki yang berjaya diberkas polis susulan serbuan di sebuah kediaman di Damansara Utama di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, serbuan dilakukan susulan laporan polis dibuat seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun yang menjadi mangsa samun.

"Dalam kejadian itu, lelaki warga asing itu cedera dipukul dan diacukan pisau ketika pulang dari tempat kerja pada jam 9 malam Jumaat lalu.

"Susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Damansara berjaya menahan suspek berusia 18 hingga 22 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun itu," katanya tadi.

Mohamad Fakhruddin berkata, polis turut merampas pelbagai barang dipercayai hasil kegiatan samun antaranya empat telefon pintar, dua dompet dan beg sandang serta wang tunai berjumlah RM134.

"Semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes curi dan merusuh manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod lampau.

"Siasatan awal terhadap semua suspek turut mendedahkan pembabitan mereka dalam lima kes samun berkawan tanpa senjata di daerah ini," katanya.

Menurutnya, dalam semua kes terbabit, kumpulan suspek bertindak agresif dengan mencederakan mangsa sebelum mengambil barang berharga.

"Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 5:30 PM