SEBAHAGIAN 30,000 ekor benih ikan kerapu tanpa permit import dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. FOTO Ihsan Maqis
SEBAHAGIAN 30,000 ekor benih ikan kerapu tanpa permit import dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. FOTO Ihsan Maqis
Muhaamad Hafis Nawawi

Langkawi: Cubaan membawa masuk benih ikan kerapu bernilai RM25,000 dari Indonesia tanpa permit atau perakuan import sah gagal selepas dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Langkawi.

Ketua Pintu Masuk Langkawi, Haslina Md Shariff berkata, benih ikan itu cuba dibawa melalui Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 1 April lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rutin oleh pegawai Maqis mendapati sebanyak 60 kotak mengandungi 30,000 benih ikan kerapu dianggarkan bernilai RM25,000 cuba dibawa masuk ke negara ini tidak mempunyai permit import yang sah.

"Kesemua dagangan itu ditahan untuk siasatan lanjut. Kegagalan untuk mengemukakan permit atau perakuan import menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Maqis tidak memandang remeh perkara ini dan akan terus komited dalam memastikan tumbuhan, binatang, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Menurutnya, ia bagi memastikan sektor pertanian negara tidak terjejas serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 10:49 AM