MPKL mengumumkan Penutupan Premis Pasar Awam Banting yang bermula hari ini hingga 7 Januari depan. Foto Ihsan MPKL
MPKL mengumumkan Penutupan Premis Pasar Awam Banting yang bermula hari ini hingga 7 Januari depan. Foto Ihsan MPKL
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan sebanyak 25 kes positif Covid-19 dikesan berkait dengan Pasar Awam Banting, Kuala Langat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pasar awam terbabit mula ditutup hari ini disebabkan oleh ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Pihak kami mendapati, tiada kawalan penjarakan fizikal, tiada rekod pembasmi kuman tiga kali sehari dan tiada rekod saringan tanda gejala kepada pekerja di pasar berkenaan.

"Sehubungan itu, penutupan ini bertujuan untuk proses disinfeksi dan saringan kontak dan yang berisiko.

"Sebanyak 25 kes dikesan berkaitan pasar ini dan 43 orang kontak rapat sudah disaring (keluarga).

"Pada hari Khamis (31 Disember), pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat akan membuat saring kepada semua peniaga yang membabitkan 101 orang," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan penutupan pasar itu hari ini sehingga 7 Januari depan.

Yang Dipertua MPKL Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, pihaknya merujuk kepada Notis Perintah Tutup yang dikenakan ke atas Pasar Awam Banting mengikut Seksyen 18 (1)(d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kerja-kerja semburan sanitasi awam akan dijalankan sepanjang tempoh penutupan premis itu di bawah seliaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran, MPKL serta PKD Kuala Langat.

"Ini bagi memastikan sanitasi awam itu dilaksanakan mengikut SOP yang disarankan oleh KKM," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar orang awam dapat bersabar dan memberikan kerjasama yang sebaiknya serta patuh kepada SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 8:36 PM