PETIKAN video menunjukkan peniaga di Pasar Pagi Teluk Bunut diarahkan menutup perniagaan oleh penguatkuasa MPKL. FOTO ihsan pembaca
PETIKAN video menunjukkan peniaga di Pasar Pagi Teluk Bunut diarahkan menutup perniagaan oleh penguatkuasa MPKL. FOTO ihsan pembaca
Ruwaida Md Zain

TANPA menghiraukan Perintah Larangan Pergerakan yang mula berkuatkuasa hari ini, kira-kira 30 peniaga di Pasar Pagi Teluk Bunut, Banting dan Jenjarrom di Kuala Langat, terus berniaga seperti biasa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, sepasukan penguatkuasa MPKL di kawasan itu mendapati aktiviti jual beli berjalan seperti biasa, kira-kira 8 pagi tadi.

“Selepas penguatkuasa memberikan arahan secara lisan, peniaga mengambil masa setengah jam untuk mengemas dan menutup perniagaan masing-masing.

“Sekiranya masih meneruskan perniagaan esok dan seterusnya, notis ingkar arahan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran dan kertas siasatan dibuka untuk pendakwaan mengikut Seksyen 24 (a) Akta 342.

“Tapi ini lebih kepada kuasa polis dan sebab itu atas perintah Akta Polis 1967 digunapakai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Zain berkata, sebelum diarahkan tutup, pasar pagi itu sempat beroperasi selama satu jam.

“Perkara ini semua berlaku disebabkan oleh kedegilan peniaga yang tidak mematuhi arahan dan bukan kerana kegagalan penguatkuasaan.

“MPKL dan semua agensi yang terbabit sentiasa memantau keadaan ini dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, pasar pagi ini dibuka setiap hari bermula kira-kira jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Selain itu, di sekitar Kuala Langat ada pasar awam Banting, Jenjarom dan Tanjung Sepat yang dibuka untuk orang awam membeli barang keperluan harian termasuk beberapa pasar raya besar. Tetapi langkah pencegahan sudah diwarwarkan dan wajib dipatuhi oleh semua pihak, ” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Katanya, bagi menguatkuasakan larangan itu, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 1:19 PM