PATI yang ditahan di kawasan Kendaie, Lundu, diusir keluar semalam. FOTO ihsan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia
PATI yang ditahan di kawasan Kendaie, Lundu, diusir keluar semalam. FOTO ihsan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my


Kuching: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengusir 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam empat kejadian berasingan di sempadan Malaysia-Indonesia, di sini, semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, kejadian pertama, berlaku jam 1.25 tengah hari, apabila sepasukan anggota yang melaksanakan rondaan keselamatan di lorong tikus sekitar Kandaie, Lundu, menahan tiga PATI termasuk seorang kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, selepas diperiksa, tiga PATI dari Saparan, Kalimantan itu cuba menyusup masuk ke negeri ini menggunakan jalan haram.

"Dalam kejadian kedua juga berlaku di Kandaie jam 2.30 petang, dua PATI dikesan sedang berjalan di satu lorong ladang kelapa sawit dari sempadan Indonesia.

"Anggota yang membuat rondaan menahan mereka dan hasil soal siasat mendapati mereka berasal dari Karangan, Kalimantan dan mahu mencari pekerjaan di Lundu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu berkata, kejadian ketiga berlaku jam 3.05 petang juga di Kendaie, apabila dua PATI dari Karangan, Kalimantan ditahan ketika cuba menceroboh masuk negeri ini untuk bekerja di Kampung Selampit, Lundu.

"Semua PATI itu diusir keluar dari Malaysia selepas laporan dibuat di Balai Polis Lundu," katanya.

Kejadian keempat pula berlaku pada jam 11 malam tadi di Tebedu apabila lima PATI terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita ditahan ketika sedang berjalan dari arah sempadan Indonesia.

"Selepas disoal siasat, mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah menggunakan lorong tikus untuk ke Sibu bagi mencari kerja.

"Laporan polis dibuat di Balai Polis Tebedu sebelum semua PATI itu diusir keluar dari Malaysia," katanya.

Katanya, TDM di bawah Pemerintahan Markas 1 Divisyen bersama pasukan keselamatan di bawah National Task Force (NTF) melalui inisiatif Ops Benteng terus komited mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyelinap masuk ke Sarawak ketika Covid-19 masih berleluasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 12:30 PM