Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kehadiran beberapa kenderaan mengeluarkan bunyi bising dan seakan beraksi di litar lumba di sekitar Jalan Pegawai, di sini malam tadi berakhir apabila 25 kenderaan ditahan dalam operasi Ops Bersepadu Samseng Jalanan.

Operasi 9 malam itu dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar diketuai Inspektor Mohd Nor Hafiz Mohd Wazir.

Operasi itu turut mendapat kerjasama daripada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Kebanyakan kenderaan yang diperiksa adalah model Honda dan Proton Satria yang dipercayai sudah diubah suai untuk mengeluarkan bunyi kuat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam operasi itu 30 kenderaan diperiksa namun 25 kenderaan terbabit dibawa ke Cawangan Trafik IPD Kota Setar untuk diperiksa.

Katanya, semua kenderaan kemudian diperiksa oleh anggota JPJ.

"Dalam operasi itu, kita menahan seorang lelaki berusia 20 tahun kerana positif dadah jenis methampetamine.

"Suspek mempunyai empat rekod kesalahan termasuk dikehendaki polis bagi Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kenderaan miliknya disita untuk membantu siasatan ," katanya ketika ditemui di IPD Kota Setar, di sini hari ini.

Ahmad Shukri berkata, 24 saman dikeluarkan dalam operasi itu kerana pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada insurans, nombor pendaftaran, tidak pamer pelekat "P," tiada cukai jalan dan tidak memiliki lesen.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, pihaknya akan menjalankan operasi untuk memantau kedai yang disyaki menjalankan kegiatan mengubah suai kenderaan di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, operasi berakhir pada 5 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 1:51 PM
ANGGOTA JPJ dan polis melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang mengeluarkan bunyi bising. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA JPJ dan polis melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang mengeluarkan bunyi bising. FOTO Zuliaty Zulkiffli