ALOR SETAR 25 DISEMBER 2017. Satu daripada dua kereta klon yang dikesan ketika Operasi Bersepadu Krismas sekitar Alor Setar, malam tadi. - Foto ihsan PDRM
ALOR SETAR 25 DISEMBER 2017. Satu daripada dua kereta klon yang dikesan ketika Operasi Bersepadu Krismas sekitar Alor Setar, malam tadi. - Foto ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


DUA kereta klon disita, seorang lelaki mabuk dan dua lelaki positif dadah ditahan dalam Operasi Bersepadu Krismas sekitar Bandaraya Alor Setar bermula 10 malam hingga 4 pagi, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail berkata, operasi bersepadu itu dijalankan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya, dalam operasi itu, polis mengeluarkan 102 saman bagi 112 kesalahan trafik membabitkan tiada lesen, ubah suai kenderaan, bawah umur, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran kenderaan, insurans, tiada pelekat L dan P serta kesalahan trafik lain.

“Dalam pemeriksaan itu juga, kita menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kerana memandu kereta dalam keadaan mabuk dan kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.’

“JPJ berjaya mengesan dua kereta klon jenis Honda Jazz dimiliki dua lelaki berusia 23 dan 30 tahun dan kereta terbabit disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Yazri berkata, JPJ turut mengeluarkan 105 saman bagi 105 kesalahan trafik.

“Dalam operasi sama, dua lelaki berusia 24 dan 41 tahun ditahan AADK selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 4:16 PM